Siti Nurhaliza akhirnya temui Nik Aziz
Apr 2, 09 7:52pm
Ketika seluruh negara tertumpu ke tiga pilihanraya kecil dan Istana
Negara, penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Taruddin hari ini membuat
satu kejutan - bertemu Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Penyanyi nombor satu itu membuat kunjungan hormat ke atas menteri besar
Kelantan selepas "sekian lama menyimpan hasrat bertemu tokoh ulama
tersebut", lapor /Harakahdaily. net/.
Selepas kunjungan bersama suaminya Datuk Khalid Mohd Jiwa, beliau
dilaporkan menzahirkan rasa syukur kerana hasratnya menjadi kenyataan.
"Selama ini saya hanya mengenali Tuan Guru melalui media massa sahaja
tanpa bertemu secara dekat.
"Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan
suami. Pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa, maksudnya
tiada agenda apa-apa," beliau dipetik berkata.
"Orang kata sepanjang hidup ni nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru
kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadi."
Siti Nurhaliza menambah, mursyidul am PAS seorang yang berpegang pada
prinsip serta ajaran agama.
Menurut laporan akhbar rasmi parti itu, pertemuan di pejabat menteri
besar di Kota Bharu berlangsung kira-kira setengah jam.
siti nurhaliza jumpa nik aziz 020409Penyanyi manis ini - lebih mesra
dengan panggilan Siti - mengambil peluang bertemu Nik Abdul Aziz selepas
diundang membuat persembahan pada majlis Sultan Kelantan sempena
keputeraan baginda malam tadi.
Sempena kunjungan itu, Siti Nurhaliza dan tokoh PAS itu bertukar-tukar
cenderahati.
Kakitangan pejabat menteri besar dan pejabat berdekatan di Kota Darul
Naim turut mengambil peluang bertemu dengan selebriti ternama itu sambil
bersalam dan bergambar, lapor laman web itu lagi.



No comments:
Post a Comment