Sunday, July 12, 2009

ADUN Galas Uzur


KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas kawasan Galas di Parlimen Gua Musang, Che Hashim Sulaiman, 45, kini dilaporkan dalam keadaan uzur akibat kanser perut.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sudah menghubungi Che Hashim semalam dan bertanya khabar mengenai keadaan Adun itu.

"Semalam saya hubungi dia, memang dia sakit barah dan uzur sekarang ini. Dia menjalani proses kimoterapi di Kuala Lumpur," katanya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Menurut sumber rakan terdekat Che Hashim, berkata beliau kini sentiasa berulang-alik dari kawasannya ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kimoterapi bagi penyakitnya itu, yang kini berada di tahap empat.

"Semua ahli keluarganya jarang berada di rumah di Taman Tropika, Galas dan Kampung Kerinting, di Galas," katanya.

Sementara itu, pemimpin Pas dan ahli keluarga terdekat ketika dihubungi enggan mendedahkan sebarang maklumat mengenai keadaan Che Hashim.

Tinjauan mendapati di pejabat Pas Kawasan Parlimen di Bandar Gua Musang turut mengadakan majlis tahlil dan bacaan surah Yassin bagi mendoakan kepada Allah supaya Che Hashim segera sembuh.

Ketua Pergerakan Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin, berkata beliau juga mendapat khabar daripada anggota keluarga Che Hashim mengenai perkara itu.

"Saya cuba menziarahi Che Hashim untuk melihat keadaannya namun tidak berpeluang kerana dia sentiasa tiada di rumah. Sudah lama saya dapat tahu, tapi keadaannya sekarang dikatakan serius.

"Kami dan Pemuda Umno akan turut mengadakan bacaan surah Yassin dan mendoakan supaya Che Hashim segera sembuh dan sihat," katanya.

No comments:

Post a Comment